Usman Awang atau lebih dikenali sebagai Tongkat Warrant telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pada 7 Disember 1983. Nama sebenar beliau adalah Wan Osman Wan Awang tetapi beliau telah menukar namanya kepada Usman Awang. Ibu beliau bernama Halimah, tetapi telah meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang hanya mencari dan menjual rotan. Beliau adalah lahir daripada keluarga yang miskin, di sebabkan kemiskinan keluarga beliau menyebabkan beliau hanya mampu belajar sehingga darjah enam sahaja. Beliau hanya bersekolah di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus darjah enam.
Ketika Jepun menjajah Tanah Melayu bermula dari tahun 1942, Usman Awang ialah seorang anak
tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun
selama 6 bulan di Singapura. Beliau berjaya melepaskan diri
dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat
Taliair Segamat. Kemudian, beliau memasuki Botai iaitu pasukan
polis Jepun, tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun
menyerah kalah.
Usman Awang
menjadi anggota polis apabila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun
1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya
di Melaka. Pada tahun 1951, beliau berhenti dan berhijrah ke
Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan sebelum menjadi pemberita.
Sesudah itu, beliau bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang.
Pada tahun
1952, Usman Awang mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu. Pada tahun Malaya
mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur. Usman Awang turut serta berhijrah dengan
memegang jawatan yang sama. Dalam tahun 1961, beliau terlibat dalam peristiwa
pemogokan Utusan Melayu. Akibatnya beliau berhenti dan menganggur seketika.
Pada tahun
1962, Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian
beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jawatan pertamanya adalah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang untuk
majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan yang disandang beliau ketika itu ialah
Pegawai Penyelidik Kanan. Usman kemudian ditukarkan ke Bahagian Pembinaan dan
Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982 beliau menjadi ketua bahagian ini sehingga
persaraannya pada bulan Julai 1985.
Selepas
bersara daripada Dewan Bahasa Dan Pustaka,
Usman Awang bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat. Antaranya
ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina. Sementara itu dalam tahun 1991,
beliau dilantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan. Perlantikan ini disifatkan
oleh beliau sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam
proses pembentukan satu bangsa Malaysia. Jawatan ini dipegang hingga tahun
2001. Selain itu beliau dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank mulai 1991 hingga 2001.
No comments:
Post a Comment